PENGALAMAN MINGGU PERTAMA DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA -AIMAN
Sabtu, 30 September 2023
Setibanya saya di UKM, saya memasuki pintu B dan terus
menuju ke Dewan Gemilang, pada tanggapan saya untuk kali pertama, saya melihat
tempat ini gah, luas, dan uniknya kawasan ini mempunyai geografi muka bumi yang
berbukit-bukit. Sampainya di Dewan Gemilang, kami sekeluarga dimaklumkan hanya
boleh menaiki bas untuk pergi ke kolej kediaman. Setibanya saya di Kolej Keris
Mas, alangkan terpukau melihat luas dan besarkan kolej ini yang terdiri oleh
blok blok lelaki dan Perempuan yang berdiri di Kawasan yang berbukit.
Sejujurnya ini pengalaman yang pertama untuk saya setelah menerokai dan
memasuki alam univerisiti. Saya perlu biasakan perkara-perkara seperti ini
walaupun mengambil masa. Setelah melakukan pendaftaran di Bilik Konvensyen dan
mengambil kunci, saya meminta abang bersama sama mengangkat barang dan menuju
ke Blok 5 bilik yang telah ditempatkan untuk saya tinggal selama setahun ini.
Tidak menyangka saya akan dapat bilik yang berada di aras bawah sekali, namun
bersyukur blok saya berdekatan dengan kafe dan kemudahan yang lain disediakan. Setelah
berada di bilik, saya mengesyaki rakan sebilik saya telah dulu berada di bilik
dan hanya meninggalkan barang walaupun masih belum berjumpa lagi secara
bersemuka. Mengikut tentatif program, kami diminta untuk turun ke kafe dan
menjamah juadah yang disediakan oleh pihak kolej, dan kemudian perjumpaan
pertama untuk pelajar baru diadakan di Dewan Besar Kolej Keris Mas. Kami
didedahkan dengan perkara yang baru dan maklumat yang penting lebih kepada
pengenalan hari pertama minggu orientasi.
![]() |
| Kolej Keris Mas (KKM), kampus UKM, Bangi. |
Ahad, 1 Oktober 2023
Kami diminta untuk beberapa hari ini bangun lebih awal
pada pukul 5 pagi, dalam masa yang sama, Pemudah Cara (PC) yang
bertanggungjawab membangunkan kami pada setiap hari minggu orientasi tersebut
untuk memastikan kami tidak terlewat dan terlepas program yang dijadualkan.
Kami solat subuh dibilik masing-masing sebelum diminta hadir ke kafe pada pukul
8 pagi untuk menjamah sarapan pagi. Kemudian kami diaturkan ke program
pengenalan yang bermula dari Tengah hari hingga lewat petang. Program yang
diadakan juga digabungkan dengan unsur formal dan tidak formal. Kami diajarkan
untuk melakukan ‘Cheers’ khusus Kolej Keris Mas dan dalam masa yang sama kami
bermain beberapa permainan. Ini adalah pengalaman yang terbaik untuk saya &
saya merasa bangga kerana menjadi salah satu penuntut di UKM. Tamat sahaja
program pada sebelah petang, kami turun ke kafe untuk menjamah dan mengambil
makanan yang disediakan untuk dijamah sebelum makan malam nanti. Kami pulang ke
bilik masing-masing dan menguruskan diri terlebih dahulu sebelum pergi ke kafe
untuk makan malam dan seterusnya atur cara program pada sebelah malam
diteruskan. Kami habis pada pukul 11 malam, dan pulang ke bilik untuk rehat dan
tidur.
Isnin, 2 Oktober 2023
Seperti kebiasaan pagi, kami bangun lebih awal pada 5
pagi, pada pandangan saya, bukan jadi masalah untuk saya bangun awal pada tiap
hari kerana sudah menjadi rutin saya bangun lebih awal. Kami dijadualkan
seperti biasa untuk turun ke kafe untuk bersarapan pagi. Kemudian kami
dijadulkan untuk menaiki bas menuju ke Dectar bagi program yang diuruskan buat
kami disana. Setibanya saya di Dectar, saya merasa kagum kerana bangunan ini
menjadi Sejarah dan saksi kejayaan graduan yang telah berjaya merangkul segulung
ijazah. Pada pandangan saya Dectar bukan sekadar bangunan atau dewan yang biasa
tapi ia adalah sebuah tempat yang keramat untuk semua. Dimana bermulanya &
disitulah diakhirinya itulah nilai Dectar di mata saya. Program yang dijalankan
di Dectar adalah bersifat formal dan informal dengan pendedahan awal yang
penting kepada kami. Kami juga secara rawak menunjukkan Cheers kolej KKM bagi
menunjukkan semangat kami. Selepas program di Dectar habis pada sebelah petang.
Kami menaiki semula bas dan pulang ke Kolej Kediaman masing-masing. Di KKM, kami
diarahkan untuk kembali ke bilik masing-masing untuk pengurusan diri sebelum
diminta hadir ke kafe untuk makan malam. Selepas itu, kami diminta berkumpul di
Dewan Besar KKM, untuk menjalankan program & aktiviti yang telah dirancang.
Kami juga lebih banyak berlatih dan mengasah kemahiran Cheers kami supaya lebih
lancar dan mantap. Kemudian, program tamat lebih kurang pada pukul 12 malam,
kami kembali ke bilik untuk rehat dan bersedia untuk program esok yang telah ditetapkan.
Selasa, 3 Oktober 2023
Kami menguruskan diri terlebih dahulu dan bersiap untuk
ke kafe bagi mengambil sarapan yang telah disediakan. Setelah itu, kami dijadualkan
untuk menghadiri program di fakulti masing-masing dengan menaiki bas yang telah
disediakan. Di fakulti, saya merasa kagum dengan luasnya kawasan dan bangunan yang
ada tersebut serta kemudahan fasiliti yang baik turut ada. Di sana, kami
berkumpul di auditorium walaupun berlainan program khusus yang diambil. Kami
didedahkan dengan maklumat yang berguna dan juga bermain kuiz. Hadiah yang
menarik turut disediakan disana. Kemudian pada waktu tengah hari, kami berehat
seketika, solat, dan mengambil makanan tengah hari yang telah disediakan.
Selepas itu, kami dipecahkan ke program-program khusus untuk sesi ramah mesra
bersama pelajar senior. Di Dewan Kuliah 5, kami program khusus Keusahawanan dan
Inovasi (BEI) hanya berjumlah lebih kurang 50 orang ahli pada sesi ini. Kami
didedahkan dengan maklumat melalui permainan kecil yang dijalankan. Melalui pertandingan
tersebut, kami dipecahkan kepada beberapa Kumpulan yang berisikan 10 orang ahli
diberikan tugasan untuk menyelesaikan kuiz yang diberikan. Kami menerokai satu
fakulti untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Walaupun kami tidak memenangi
hadiah tersebut, namun atas tugasan tersebut, kami serba sebanyak didedahkan
dengan maklumat yang ada dan berguna di fakulti tersebut. Program tamat pada
waktu sebelah petang dan kami kembali pulang ke Kolej Kediaman menaiki bas yang
telah disediakan. Kami kembali ke bilik masing-masing sebelum datang kembali ke
kafe selepas solat maghrib untuk makan malam. Seterusnya, kami berkumpul di
Dewan Besar KKM bagi menjalankan program pengenalan Domain. Program tamat sekitar
pada pukul 12 malam dan kami diarahkan kembali ke bilik untuk menguruskan diri
serta rehat secukupnya.
![]() |
| Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM |
Rabu, 4 Oktober 2023
Menjelang hari terakhir Minggu Apresiasi Watan (MAW), seperti biasanya kami bangun awal di pagi hari. Bersiap dengan memakai pakaian formal, berbaju T-shirt putih dan tali leher biru UKM. Sebelum gerak ke Dectar, kami sarapan terlebih dahulu di kafe Kolej Keris Mas pada pukul 7 pagi sebelum berada di Dectar pada pukul 8 pagi. Disana kami dilatih beberapa kali untuk bersedia bagi menjalankan upacara ikrar yang sebenar pada sesi sebelah petang. Terdapat juga slot-slot program yang diisi seperti program pengenalan PTPTN dan lain-lain lagi. Rasa gementar dan teruja menyelubungi kami kerana sebentar sahaja lagi secara rasmi kami akan berikrar dan seterusnya menjadi pelajar rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia. Penantian silih berganti, akhirnya tiba lah waktunya Naib Canselor masuk ke Dectar dengan diiringi oleh kakitangan UKM. Beliau memberikan sepatah dua kata dan seterusnya kami mengangkat ikrar di hadapannya. Dewan bergemuruh Ketika itu disaksikan oleh hampir lima ribu pelajar baharu ketika itu dan secara rasminya kami menjadi pelajar baru sesi 2023/2024.
![]() |
| Sesi ikrar pelajar menjelang hari terakhir MAW. |
Majlis di
Dectar berhenti seketika dan kami pulang semula ke Kolej Kediaman masing-masing
untuk menguruskan diri terlebih dahulu sebelum kembali semula ke Dectar pada
sesi sebelah malam. Kami menyesuaikan diri dengan pakaian Kolej masing masing
dan kemuncak yang dinantikan oleh semua pelajar adalah tradisi Perang Dectar
diadakan pada malam tersebut. Kehadiran Varsity Boys atau dikenali sebagai
ultras iaitu pasukan sorak rasmi bagi Universiti Kebangsaan Malaysia
memeriahkan lagi suasana Ketika itu. Alunan drum yang dimainkan merancakkan
lagi Cheers yang dikeluarkan oleh kolej masing-masing. Seiring berjalannya
waktu, beberapa kolej semakin lama semakin berkurangan dan beredar untuk
meninggalkan Dectar. Pada ketika itu, hanyalah yang tinggal Kolej Keris Mas
(KKM), Kolej Pendeta Zaaba (KPZ) & Kolej Burhanuddin Helmi (KBH) yang masih
berdiri teguh ketika itu, Cheers dilontarkan bersilang-seli dengan semangat
yang tinggi namun kemeriahan tidak bertahan lama, pihak keselamatan UKM masuk
ke Dectar dan meminta kesemua pelajar untuk bersurai dan meninggalkan Dectar
dengan segera. Dengan akur, kami pelajar dari KKM mematuhi amaran yang telah
diberikan dan perlahan-lahan meninggalkan kawasan kejadian. Walaupun begitu,
masih terdapat kolej kediaman yang berdegil untuk meninggalkan Dectar pada
ketika itu. Mereka mengendahkan amaran yang telah diberikan oleh pasukan
keselamatan UKM. Kami pulang dengan berjalan kaki sahaja kembali ke kolej
kediaman kami kerana ketika itu penyediaan bas tidak lagi beroperasi kerana telah
berada diluar waktu bekerja. Kami sampai ke KKM dan berkumpul terlebih dahulu di
Dewan Besar KKM sebelum pulang dan berehat di bilik masing-masing. Ini adalah
pengalaman seumur hidup yang hanya dapat dirasai sekali sahaja dan saya rasa
bertuah kerana menjadi sebahagian daripada keluarga UKM.
![]() |
| Perang Dectar, penutup MAW. |




Ulasan
Catat Ulasan