PENGALAMAN MINGGU PERTAMA DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA - Hatib

Salam kawan-kawan, jadi harini saya nak kongsikan pengalaman saya sepanjang minggu pertama berada di Universiti Kebangsaan Malaysia atau disingkatkan kepada UKM.





        Jadi saya bertolak dari Penang ke UKM Bangi,Selangor sehari sebelum hari pendaftaran. Masa tu memang rasa sangat teruja sebab akan jumpa ramai kawan dari macam-macam negeri termasuklah kawan dari luar negara. Jadi, sebenarnya persiapan saya boleh dikatakan agak kelam-kabut sebab saya kena cari balik dokumen-dokumen lama saya , ye lah kan , saya kan tangguh pengajian saya setahun sebelum sambung belajar di UKM. Sebabnya , setahun sebelum tu saya dapat Universiti yang saya kurang berminat , jadi saya buat keputusan untuk tolak tawaran pada tahun tersebut dan mencuba nasib saya pada tahun seterusnya.






Tak sangka saya dapat juga Universiti yang saya impikan sejak saya sekolah menengah lagi. Memang betul-betul bersyukur la waktu tu. Ok jadi nak dipendekkan ceritanya, Lepas je bertolak dari penang pada jam 2.00 petang. Saya dan keluarga tiba di kawasan Bangi pada jam 9.00 malam, sebab perjalanan kami banyak berhenti. ye lah , bawa ibu bapa mestilah perlu banyak perhentian sebab nanti kaki diorang kebas, lenguh, kitorang pun nak solat, makan minum dan sebagainya lagi , lepastu kena hadap jem lagi , memang lama juga la atas jalan raya. Lepas sampai , kitorang tidur dekat sebuah Hotel dekat daerah Kajang. Senang sikit besoknya nak gerak ke UKM untuk pendaftaran saya.



HARI PERTAMA DI UKM!





Hari Pendaftaran...


8:30 PAGI

Jadi masa hari pendaftaran , hujan agak lebat , sebaik sahaja sampai di pintu 2 UKM, saya mula rasa berdebar, sebab macam tak percaya yang saya bakal bergelar mahasiswa UKM, kami sekeluarga diberitahu untuk pergi ke Dewan Gemilang untuk meletakkan kenderaan, sebab kami semua perlu naik bas untuk ke kolej kediaman masing-masing , pada mulanya saya agak hairan la , sebab ye la saya pun tak tahu lagi prosedur untuk pelajar baru macam mana kan. Jadi kami pun ikut je la. Jadi, sambil dicurahi titisan air hujan, saya membawa barang-barang saya menuju ke bas yang disediakan oleh UKM sambil dibantu oleh mahasiswa dan mahasiswi UKM yang menjadi sukarela untuk membantu para pelajar baharu pada masa itu. Memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh saya sebab buat pertama kali nya saya melihat prosedur di sesebuah Universiti. Ye la saya sebelum ni hanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan je. Belum pernah lagi belajar di tempat mcm kolej , asrama dan lain-lain.




Saya ditempatkan di Kolej Keris Mas. Memang teruja sangat masa tu sebab saya ada terdengar yang Kolej Keris Mas atau disingkatkan kepada KKM ni merupakan antara Kolej yang terbesar di UKM. Jadi sebaik saja tiba di KKM menaiki bas, kami dipandukan ke menuju ke Khemah yang berada di hadapan Kafe, seterusnya saya diarahkan untuk naik ke dewan di tingkat 2 untuk mengambil kunci bilik. Setelah itu , saya diberitahu yang boleh berehat di bilik dahulu sehinggalah jam 4.00 petang untuk program di Dewan Besar KKM. Lepas tu kami pun pergi la ke bilik. Ibu bapa saya dan adik saya yang ikut pada waktu itu juga turut membantu saya membawa barangan ke bilik. Sampai di bilik, kami berehat selama sekitar 20 minit, kemudian Ibu bapa saya pun hendak pulang , sedih rasanya nak meninggalkan keluarga, tapi apakan daya , saya perlu menuntut ilmu untuk membanggakan keluarga saya juga.



12:00 TENGAH HARI

Sedang santai berehat, sampai juga akhirnya rakan sebilik saya dengan keluarganya, pada mulanya saya agar berdebar juga, ye la , belum pernah jumpa, kami pun berkenalan, dan saya juga sempat berkenalan dengan keluarganya, setelah selesai mengemas ruangan, keluarganya pun pulang. Kami pun berborak berkongsi pengalaman masing-masing dan berkongsi pendapat tentang UKM.




4:00 PETANG

Kami semua ke Kafe KKM untuk menikmati hidangan yang telah disediakan sebelum pergi ke Dewan Besar KKM , pada waktu ini la saya dapat melihat kesemua penghuni blok di KKM, agak teruja dan berdebar juga, pada awalnya saya agak takut untuk mengetahui perspektif mereka terhadap diri saya , tetapi syukurlah mereka semua baik dan periang. Kami diperkenalkan dengan para PemudahCara (PC) yang akan membimbing kami semua sepanjang minggu pertama di UKM sempena program MINGGU APRESIASI WATAN atau disingkatkan kepada MAW. MAW merupakan program orientasi bagi para pelajar baru yang berjaya memasuki UKM dan diadakan setiap tahun.




7:00 MALAM

Setelah selesainya progam, kami semua dilepaskan untuk makan di Kafe, solat dan bersiap untuk program pada jam 8:30.



8:30 MALAM

PROGRAM di DEWAN KKM. Waktu ini , kami diedarkan dengan baju rasmi Kolej Keris Mas serta diberikan mafla dan kipas yang berlogo Kolej Keris Mas. Kami juga diperkenalkan dengan pihak-pihak pengurusan Kolej Keris Mas seperti pengetua KKM, para FELO, dan ketua-ketua Blok yang akan menjadi pembimbing di KKM. Setelah selesai program jam 11.30 malam, kami kemudiannya dilepaskan ke bilik masing-masing untuk berehat.






HARI BERIKUTNYA DAN BERIKUTNYA.....

Begitulah tentatif yang disediakan kepada para pelajar baharu pada waktu itu. Banyak pengalaman yang pertama kali saya lalui sepanjang menyertai Program MAW. Antaranya ialah saya perlu berdisplin sepanjang Minggu pertama menyertai program MAW, dan pergerakkan kami sentiasa dipantau oleh PC yang bertugas pada waktu itu, maksud dipantau tu adalah seperti hal berkaitan menepati masa, pemakaian , dan lain-lain.


Kebanyakan pergerakan kami dari satu tempat ke satu tempat adalah dengan berjalan kaki, agak memenatkan , tapi sememangnya menyeronokkan , kerana saya dapat menghirup udara segar serta dapat melihat monyet dan beruk yang berada di tepi jalan, saya juga dapat menikmati permandangan serta dapat mengenali bangunan-bangunan yang ada di UKM, antara yang saya dapat kenal pasti waktu itu ialah , PUSANIKA, Panggung Seni, Fakulti-fakulti , Masjid UKM, Dewan Gemilang dan banyak lagi. Selain itu, saya juga dapat mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan lain semasa berjalan kaki bersama-sama. 





Tetapi keseronokan itu tak bertahan lama, sehinggalah hari ketiga, kerana saya tidak demam pada ketika itu, mungkin sebab kurang waktu untuk berehat, ye lah , jadual aktiviti terlalu padat, bila sampai bilik jam 12 tengah malam pun bukan boleh terus tidur, disebabkan deman, mood saya menjadi hilang kerana seluruh badan ketika itu berasa lesu, tetapi mujur PC memberikan saya ubat , pada malam hari tenaga saya perlahan-lahan pulih.




Pada program di malam hari ketiga , saya telah mendaftarkan diri untuk menyertai program di dalam kelab kebudayaan. Saya terpilih untuk berlakon di pentas Panggung Seni bagi persembahan Penutupan Program MAW 2023. Keesokan paginya, peserta yang terlibat telah diminta pergi ke Panggung Seni untuk aktiviti latihan manakala yang tak terlibat akan mengikuti Progam bersama para PC.







Saya telah mendapat watak Pelajar Internasional dari Indonesia, agak berdebar ketika itu, ye la , saya perlu berlakon di atas pentas di hadapan lebih kurang 4000 penonton. Memang sesuatu yang gila bagi diri saya kerana seumur hidup saya belum pernah berhadapan dengan penonton sebanyak itu. Dan ini merupakan kali kedua saya menyertai persembahan lakonan. 





Pada hari 4 pula, tentatif program MAW diselitkan pula dengan aktiviti para pelajar di fakulti masing-masing. Buat pertama kalinya saya dapat memasuki sebuah fakulti yang sebelum ini hanya didengari oleh orang sekeliling sahaja, dan pertama kalinya saya memasuki dewan kuliah. Pada masa itu, saya hanya membayangkan memori lama di mana impian saya untuk belajar di dalam dewan kuliah dan akhirnya ia bakal menjadi kenyataan. Aktiviti di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan juga telah banyak memberi pengalaman saya dan sedikit petunjuk(hint) tentang apa yang bakal saya pelajari pada minggu kedua di UKM. Setelah selesai aktiviti, saya dan rakan-rakan yang terlibat perlu ke Panggung Seni untuk sesi latihan persembahan penutupan MAW. Agak memenatkan tetapi seronok kerana dapat melihat pelbagai bakat rakan-rakan semasa aktiviti latihan tersebut,




 Di samping itu juga, tentatif program MAW juga diselitkan dengan program Malam Cinta Rasul yang bertempat di Masjid UKM, program ini juga telah membuatkan para hadirin yang menyertai program tersebut mendekatkan diri dengan Kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad S.A.W.. Dengan mengenakan tema pakaian berwarna putih dan hitam , seluruh masjid terlihat seragam dan ia merupakan pengalaman yang sangat menarik yang mustahil untuk saya lupakan seumur hidup saya. Saya juga berharap pihak UKM akan memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan seperti ini supaya para mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam dapat lebih mengenali dan mendalami ilmu agama. Selepas program selesai , para perserta Domain Kebudayaan perlu ke Panggung Seni bagi meneruskan sesi latihan bagi Persembahan penutupan MAW, kami yang terlibat pun mula berlatih.






Pada hari 5 iaitu hari terakhir bagi program MAW, setelah berlatih selama 2 hari , syukurlah kesemua persembahan yang dirancang telah dipersembahkan dengan jayanya. Saya juga dapat merasai pengalaman berada di atas pentas besar di hadapan khalayak ramai. 




Tambahan lagi, saya juga dapat menikmati saat-saat persiapan bagi persembahan penutup MAW seperti, persiapan solekan, latihan akhir sebelum melakukan persembahan dan lain-lain. 





Pesembahan saya juga telah mendapat sorakan gemuruh dari para pelajar. Saya akui , pelajar UKM juga sangat 'Sporting' , sorakan mereka menambahkan keyakinan saya untuk melakonkan watak saya sebagai pelajar Internasional.





 Bagi penutup MAW pula, kami semua diperkenalkan dengan sebuah aktiviti yang belum pernah didengari iaitu Perang DECTAR. Wah!! memang sangat seronok dan riuh, para pelajar dari kolej masing-masing melaungkan sorakan atau cheers unik masing-masing, saya bena-benar teruja kerana perang cheers ini berlangsung begitu lama kerana tidak ada kolej yang mahu mengalah, akhirnya setelah lebih kurang 3 jam melaungkan cheers, kami akhirnya dihalau keluar dari DECTAR oleh pihak keselamatan UKM, agak kelakar, tapi itu la yang berlaku.






 Akhir kata, pengalaman di UKM ini adalah sesuatu yang betul-betul menarik untuk dinikmati. Saya juga menikmati banyak pengalaman baru sepanjang Program Maw dijalankan dan saya rasa program MAW adalah program yang terbaik yang pernah saya lalui sepanjang saya hidup sebagai seorang pelajar. Semoga juga saya dapat menjadi pewaris WATAN yang berjaya dan dapat membanggakan nama Universiti Kebangsaan Malaysia itu sendiri. Saya juga berharap pelajar-pelajar dan anda-anda di luar sana supaya dapat menjadikan UKM ini sebagai Universiti impian anda semua pada masa akan datang dan berharap UKM bakal dikenali di seluruh dunia satu hari nanti dan terkenal dengan prestasi akademik mahupun kokurikulum. MARA WATAN KE PUNCAK MENARA!!!.




Sekian Terima Kasih, insyaallah kita jumpa lagi di Blog akan datang . 








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEMPAT MENARIK DI UKM -PUSANIKA (Hatib)

TEMPAT YANG MENARIK DI UKM, DECTAR -AIMAN

KEMUDAHAN YANG TERDAPAT DI UKM - PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI (Irenaeus)